Wednesday, January 18, 2012

Bahagia itu ada pada Hati

Bahagia itu dari dalam diri
Kesannya zahir rupanya maknawi
Terpendam bagai permata di dasar hati
Bahagia itu ada pada hati
Bertakhta di kerajaan diri
Terbenam bagai mutiara di lautan nurani
Bahagia itu ada di jiwa
Mahkota di singgahsana rasa
Bahagia itu adalah suatu ketenangan
Bila susah tiada gelisah
Bila miskin syukur pada Tuhan
Bila sakit tiada resah di jiwa
Bukankah Tuhan telah berfirman
Ketahuilah dengan mengingati Allah
Jiwa kan menjadi tenang
Kebahagiaan itu suatu kesyukuran
Bila kaya jadi insan pemurah
Bila berkuasa amanah
Bila berjaya tidak alpa
Bila sihat tidak lupakan Tuhan
Hakikatnya bahagia itu
Adalah ketenangan
Bila hati mengingati Tuhan
Semua insan kan mengerti
Maksud terseni Ilahi
Itulah zikir yang hakiki hati





Monday, January 9, 2012

Rehatkan Hati

Sumber: http://www.one-ummah.net/kuliah/motivasi/924-rehatkan-hati.html

Mengapa setelah berzikir, solat atau berdoa  hati belum tenang? Sedangkan Allah telah menetapkan dalam Al Quran bahawa dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang? Khususnya ketika menghadapi ujian rumah tangga mengapa hati kita masih resah, kacau dan galau walaupun sudah berbuih mulut meluahkan kalimah-kalimah zikir? Justeru, ramai isteri atau suami mengadu, mengapa hati mereka tidak tenang walaupun telah berzikir ketika menghadapi krisis, ujian dan kesusahan dalam hidup berumah tangga?

Mengapa kita belum mendapat ketenangan sepertimana yang dimiliki oleh pasangan Sayidina Ali dan Siti Fatimah walaupun kita telah berzikir dengan kalimah subhanallah, alhamdulillah dan Allah hu Akbar, sama seperti yang pernah diamalkan oleh mereka? Apa yang tidak kena dengan zikir kita? Bukankah kalimahnya sama? Bukankah jumlah atau bilangannya sama?

Tidak syak lagi kita tidak dapat menghayati maksud tersirat daripada kalimah-kalimah zikir itu. Berzikir tanpa menghayati falsafah dan makna tersirat di sebaliknya, umpama burung kakak yang pandai bertutur. Untuk menghayati makna zikir sehingga meresap ke dalam hati perlukan ilmu, amalan dan latihan. Marilah kita sama-sama kita fahami apakah kesan atau rasa-rasa yang perlu dirasai oleh hati apabila kita mengingati Allah (berzikir).  Antara rasa-rasa itu ialah:

1.      Rasa kehambaan.

Rasa kehambaan ialah rasa miskin, jahil, lemah, bersalah, hina dan lain-lain sifat kekurangan seorang manusia apabila berdepan dengan ujian daripada Tuhannya. Apabila diuji dengan karenah pasangan, kekurangan harta, anak-anak sakit dan sebagainya, seorang suami atau isteri yang memiliki rasa kehambaan akan sedar bahawa semua itu hakikatnya datang daripada Allah. Firman Allah:

“Tidak sekali-kali akan menimpa Kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman bertawakal. (Surah al-Taubah 9: 51).”

Bila menyedari hakikat itu, seseorang akan pasrah dan merasakan bahawa dia wajar diuji. Hatinya berbisik, “bukankah aku seorang hamba? Aku sewajarnya akur dengan apa yang berlaku dan tidak mempersoalkan mengapa aku diuji begini. “ Hatinya tidak akan berkata, “kenapa aku, bukan orang lain?” Menerima hakikat bahawa kita layak diuji akan menyebabkan hati menjadi tenang. Sebaliknya jika kita ‘memberontak’, hati akan bertambah kacau. Let go, let God – maksudnya lepaskan dan pasrahlah kepada Allah.

Apakah tanda-tanda kita memberontak apabila diuji? Kata Imam Ghazali rahimahullah, “cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah ‘memberontak’ kepada Tuhannya apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya!” Misalnya, seseorang suami atau isteri itu tidak mahu lagi untuk makan dan minum secara teratur, tidak menyisir rambut, tidak berpakaian kemas, tidak mengemaskan rumah atau menjaga anak-anaknya lagi.

Marilah sama-sama kita ingat, apabila ditimpa ujian, kita diajar untuk mengucapkan kalimah istirja’, “Inna lillah wa inna ilaihi raji’un.” Firman Allah:

“Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya kami kembali. (Surah al-Baqarah 2:156).”

Kalimah ini mengingatkan kita agar kembali merasakan erti kehambaan. Bahawa kita adalah milik Allah dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Kita layak, patut dan mesti diuji kerana kita hamba, bukan tuan apalagi Tuhan dalam hidup ini. Dengan ini kita akan dapat menurunkan rasa marah kepada pasangan, anak-anak, mertua atau sesiapa sahaja anggota keluarga kita. Ya, mereka berbuat demikian atas izin Allah jua!

2. Rasa bertuhan.

Rasa kehambaan yang serba lemah, itu mesti diimbangi oleh rasa bertuhan. Apabila kita rasa lemah, timbul pergantungan kepada yang Maha kuat. Apabila kita rasa kurang, timbul pengharapan kepada yang Maha sempurna. Apabila kita dihimpit kesedihan semakin kuat rasa pergantungan, pengharapan, permintaan kita kepada Allah. Mungkin selama ini kita terlalu bergantung kepada suami, isteri atau anak-anak.

Jika rasa kehambaan menyebabkan kita takut, hina dan lemah. Sebaliknya rasa bertuhan akan menimbulkan rasa sabar, tenang dan berani menghadapi apa jua masalah dalam rumah tangga. Seorang suami yang paling kuat menghadapi ujian dalam hidup ialah suami yang merasa lemah di sisi Allah. Ketika itu ujian walau bagaimana berat sekalipun akan mampu dihadapi kerana merasakan Allah akan membantunya. Firman Allah: “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita. (Surah Taubah 9:40)”

Rasa bertuhan inilah yang menyebabkan para nabi dan rasul sanggup berdepan dengan karenah isteri mereka. Nabi Luth, Nabi Ayub, Nabi Nuh misalnya, mampu menghadapi ujian yang paling kritikal dalam rumah tangga mereka. Doa adalah senjata mereka manakala solat dan sabar menjadi wasilah mendapat pertolongan Allah. Firman Allah: “Dan pintalah pertolongan dengan sabar dan mengerjakan solat. (Surah al-Baqarah 2: 45)”

Dalam apa jua keadaan – positif mahupun negatif, hati suami atau isteri tetap tenang. Firman Allah:  “Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana. (Surah al-Fath 48:4)”

Apabila hati tenang, berlakulah keadaan yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya yang dilaporkan oleh Sa’ad bin Abi Waqqas: “Aku hairan dengan orang beriman, sekiranya dia mendapat kebaikan, maka dia akan memuji Allah dan bersyukur, dan sekiranya dia mendapat musibah dia akan memuji Allah dan bersabar. Dan setiap mukmin diganjari dalam setiap urusannya sehingalah diberi pahala pada setiap suapan makan yang diangkat ke mulut isterinya.”

3.      Memahami maksud takdir Allah

Mana mungkin kita dapat mengelakkan daripada diuji kerana itu adalah takdir Allah SWT. Yang mampu kita buat hanyalah meningkatkan tahap kebergantungan kita kepada Allah di samping berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah itu. Ungkapan yang terkenal: We can’t direct the wind but we can adjust our sail – kita tidak mampu mengawal arah tiupan angin, kita hanya mampu mengawal kemudi pelayaran kita.

Kemudi dalam bahtera rumah tangga kita ialah hati. Hati yang bersifat berbolak-balik (terutamanya apabila diuji) hanya akan tenang apabila kita meyakini sifat kasih sayang, keampunan dan sifat pemurah-Nya tetap bersama kita sewaktu diuji. Dalam apa jua takdir yang ditimpakan-Nya ke atas kita adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan buruk. Walaupun kekadang kita belum nampak kebaikannya, percayalah kebaikannya pasti ada.

Tidak salah untuk kita menyelesaikan masalah yang menimpa (bahkan kita dituntut untuk berbuat demikian), namun jika masalah itu tidak juga dapat diselesaikan, bersangka baiklah kepada Allah, berdasarkan firman-Nya:  “Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui sedang kamu tidak mengetahuinya. (Surah Al Baqarah 2: 216)”

Siapa tidak inginkan keharmonian, kasih sayang dan kemakmuran dalam berumah tangga. Namun jika setelah berusaha sedaya upaya, krisis masih berlaku jua, maka bersangka baiklah dengan Tuhan. Mungkin itu caranya untuk kita mendapat pahala sabar. Begitu juga kalau kita ditakdirkan kita kesempitan belanja, maka berusahalah untuk menambah pendapatan, kerana itulah maksud Allah mentakdirkan begitu.  Ya, dalam apa jua takdir Allah, hati kita dipimpin untuk memahami apa maksud Allah di sebalik takdir itu.

Dengan ini kita tidak akan merungut, stres dan tertekan. Hayatilah kata-apa yang ditulis oleh Ibnu Atoillah ini: “Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.”

Jagalah rumah tangga kita dengan sebaik-baiknya. Carilah jalan damai sehabis daya.  Namun ingatlah jika badai terus melanda, ingatlah itu sudah maktub (tertulis). Jangan rosakkan hati kita dengan kalimah “kalau” atau “jika”. Hayati sabda Rasulullah saw ini: “Oleh itu, hendaklah engkau bersungguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas. Dan jika engkau ditimpa sesuatu, maka janganlah engkau berkata: “Kalau aku lakukan anu anu, tentulah akan terjadi anu anu, tetapi katalah: “Allah telah takdirkan dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaan-Nya Ia lakukan,’ kerana perkataan ‘kalau’ itu membuka jalan kepada hasutan syaitan.” (Hadis riwayat Muslim)

4.      Mendapat hikmah apabila diuji.

Hikmah adalah suatu kebijaksanaan mendapat kebaikan di sebalik satu keburukan. Hikmah dikurniakan sebagai hadiah paling besar dengan satu ujian. Hikmah hanya dapat ditempa oleh mehnah – didikan langsung daripada Allah melalui ujian-ujian-Nya. Daripada Abd al-Rahman bin Azhar bahawa Ra­sul­ullah SAW bersabda: “Perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa sakit atau demam, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja.”

Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah daripada Tuhan? Maka dengan ujian bentuk inilah para suami atau isteri meraih sebanyak-banyaknya pahala dan keredhaan Allah. Rumah tangga adalah medan ‘perjuangan’ melawan nafsu marah, putus asa, buruk sangka, dendam dan lain-lain sifat mazmumah yang mungkin timbul hasil interaksi dan komunikasi antara suami isteri, ibu-bapa dengan anak-anak, mertua dengan menantu.

Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya. Justeru, hayatilah kata-kata hikmah ini: “Allah melapangkan bagimu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan, dan Allah menyempitkan bagimu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah.”

Ya, inilah empat rasa yang sewajarnya ada ketika kita berzikir sewaktu mengharungi ujian dalam berrumah tangga. Bawalah hati kita berehat… dan rehat sebenar ada di dalam zikir. Dan zikir yang paling besar adalah solat. Oleh kerana itulah Rasulullah saw sering menyuruh Bilal supaya azan dengan katanya yang membujuk, “rehatkan kami dengan solat wahai Bilal!”

Artikel : Pahrol Mohd Juoi
gentta-rasa.com

Tuesday, August 9, 2011

Rawatan untuk Orang yang Keras Hati


Sumber: e-mail dr seorang kawan : Ita Ahmad

Ceramah oleh Ustazah Habsah (JAKIM)
(28/2/2010 –  Surau Al-Hidayah)

Tanda-tanda orang yang keras hati:

  • Tidak menunaikan solat – (kalau solat pun tak pernah berjemaah terutama solat Subuh)
  • Meninggalkan membaca al-Quran, menghayati, & mengamalkan (bila je kite baca al-Quran? Malam Jumaat,      baca yasin. Itu pun kalau yang bacalah…Alhamdulillah)
  • Rezeki yang dicari tidak halal –  menipu, rasuah, riba, dll.
  • Diri dihiasi dengan kesombongan/ takbur
  • Cenderung kepada dunia
  • Penglihatan cenderung kepada yang haram – tengok orang berpakaian seksi, cerita lucah, tidak menutup aurat
  • Tidak pernah muhasabah diri & suka berangan-angan
  • Banyak bercakap, banyak ketawa, banyak makan
  • Suka memarahi orang – yang menyalahi syarak
  • Suka berdusta
  • Suka hadir majlis yang mengaibkan
  • Suka berdendam, dengki-mendengki, saling membenci
  • Menghabiskan masa tanpa melakukan perkara yang berfaedah
  • Mengambil makanan yang diharamkan – rokok, dadah, arak
  • Menghiasi hidup dengan hiburan semata-mata – sekarang semua jenis hiburan ada kat tv/channelkan! Macam-macam ada. Kalau tentang agama, berapa peratus?


Cara-cara rawatan:

  • Mendalami ilmu – terutama Al-Quran & As-Sunnah (baca, hayati, khusyuk & taddabur, tahu makna)
  • Membaca sirah Rasulullah s.a.w & para sahabat (sediakan bajet untuk membeli buku agama setiap bulan)
  • Sentiasa bersedekah (saham akhirat)
  • Kasih kepada fakir miskin/ orang yang memerlukan bantuan
  • Kasih kepada ibu bapa & ihsan kepada kedua-duanya (selalulah berdoa utk mereka, bertanya khabar, blk kampung, sambut hari penting dgn mereka tidak kira la hari jadi, ulang tahun ke apa…asalkan hati mereka gembira & bangga ada anak mcm kita)
  • Menziarahi orang sakit – ingat kita pun akan sakit juga
  • Menjalin & mengeratkan silaturahim
  • Melihat & memandikan jenazah (masa kita akan sampai nanti)
  • Banyakkan berzikir (lembutkan hati)
  • Sentiasa bertaubat – lakukan taubat nasuha (solat sunat taubat – sebelum tidur & sentiasa beristighfar)
  • Hidupkan malam dengan qiamullail
  • Rendahkan diri & berakhlak mulia
  • Solat berjemaah & amalkan beriktikaf di dalam masjid
  • Memberi salam (sama ada kenal/ tidak)
  • Menghadiri majlis-majlis ilmu
  • Mengelakkan perkara/tubuh badan drp melakukan perkara syubhah
  • Sentiasa berdoa
Muhasabah diri kita. Ini sebahagian je… Allahua’lam.    





Saturday, July 9, 2011

Hati Yang Bersih

Sumber: http://kangdarto.com/?p=381
Sumber: http://tazkirahsini.com/2010/05/29/hati-yang-bersih/

Tidak ada suatu keinginan yang besar dari seorang mukmin kecuali mempunyai hati yang bersih dan bercahaya kerana ia yang akan menuntun keselamatan hidup kita di dunia dan di akhirat kelak. Hati yang cemerlang adalah hati yang bersih suci dan mampu ‘melihat’ alam ghaib sehingga ia mengenal Allah ta’ala tanpa keraguan sedikitpun.

Pada zaman nabi ada seorang laki-laki bertanya pada nabi, “Ya Rasulullah , siapakah manusia terbaik?”. Nabi menjawab, “Mereka adalah orang mukmin yang berhati makhmum.” Orang itu bertanya lagi , “Apakah hati makhmum itu?” . Nabi bersabda, “Itu adalah hati yang berTAKWA lagi bersih yang tidak ada didalamnya penipuan, sikap melampaui batas, tipu daya, khianat dan dengki”. (HR. Ibnu majah dan termasuk hadis shahih).

“Hai orang-orang yang beriman, jika kamu berTAKWA kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan kepadamu furqan (pembeda) dan menghapuskan segala kesalahan-kesalahanmu dan mengampuni (dosa-dosa) mu. Dan Allah mempunyai karunia yang besar.” (QS Al-Anfal : 29)

“Hai orang-orang yang beriman (kepada para rasul), berTAKWAlah kepada Allah dan berimanlah kepada Rasul-Nya, nescaya Allah memberikan rahmat-Nya kepadamu dua bahagian, dan menjadikan untukmu nur (cahaya) yang dengan cahaya itu kamu dapat berjalan dan Dia mengampuni kamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (QS Al-Mujadilah :28)

Dalam hadits Qudsi, diriwayatkan oleh Abu Hurairah radliyallahu ‘anhu bahwa Rosulullah SAW bersabda :

"Sesungguhnya Allah swt telah berfirman: “Barangsiapa yang menyakiti wali-Ku , maka Aku menyatakan perang kepadanya. Tidaklah hamba-Ku mendekati-Ku dengan suatu pekerjaan yang lebih Aku sukai daripada dia mengerjakan apa yang Aku telah fardhukan kepadanya. Dan senantiasa hamba-Ku mendekatkan dirinya kepada-Ku dengan melakukan yang sunat (nawafil) sehingga Aku cinta kepadanya. Maka apabila Aku telah mencintainya, adalah Aku-lah yang menjadi pendengarannya yang ia mendengar dengannya, dan penglihatannya yang ia melihat dengannya, dan tangannya yang ia tamparkan dengannya, dan kakinya yang ia berjalan dengannya; Dan sesungguhnya, jika ia meminta kepada-Ku, nescaya Aku berikan kepadanya; Dan sesungguhnya, jika ia memohon perlindungan kepada-Ku nescaya Aku berikan perlindungan kepadanya.” (Riwayat Imam Bukhari)

Hati yang bersih juga hati orang yang Ikhlas, sehingga ditakuti oleh setan. Nabi pernah bersabda, “Tidak berjalan Umar disuatu lorong melainkan setan memilih jalan lain (supaya tidak berpapasan dengan Umar). (HR. Imam Bukhari dan Muslim). Perasaan takut yang ditunjukkan setan disebabkan kerana ketakwaan yang ada dalam diri Umar.

Apabila hati bersinar dan gemilang, Allah mengilhamkan kepada hati itu berbagai ilmu dan petunjuk. Diantaranya adalah firasat mukmin. Sehubungan hal tersebut menurut Imam Thirmidzi , nabi bersabda , “Takutlah kamu dengan firasat mukmin karena sesungguhnya dia melihat dengan nur Allah. “

Contohnya, menurut Anas bin Malik , pada suatu hari dia melihat seorang wanita dan tertegun dengan kecantikannya. Kemudian setelah itu , beliau bertemu dengan Uthman bin Affan dan Uthman berkata, “Telah masuk ke perkumpulanku , seorang laki-laki yang dimatanya terdapat tanda-tanda zina.” Anas terkejut dengan perkataan Uthman dan bertanya . “Masih adakah wahyu setelah nabi (Khalifah Uthman boleh tahu apa yang telah dilakukannya) ?” . Uthman menjawab. “Tidak, yang ada hanyalah mata hati dan firasat yang benar”

Begitu pula dengan peristiwa yang terjadi atas khalifah Umar bin Khatab. Ketika beliau sedang menyampaikan dakwahnya di Madinah, tiba-tiba beliau berkata , “Wahai Sariah, pergilah kebukit, kebukit.” Rupanya , pada waktu itu beliau dapat melihat bahwa tentera-tentera Islam yang dipimpin oleh panglima Sariah mengalami kekalahan sedangkan mereka berada jauh di Madinah. Beliau segera memberi petunjuk kepada Sariah agar membawa tentera-tentera Islam ke bukit. Menurut Sariah , beliau dapat mendengar suara Umar dengan jelas dan segera mematuhi petunjuknya sehingga mereka akhirnya memperoleh kemenangan. Ini adalah bentuk –bentuk ilham yang dianugerahkan Allah kepada mereka yang memiliki hati yang bersih.

Itulah beberapa contoh orang-orang yan bertTAKWA yang hatinya bercahaya.
Banyak orang mengHIAS WAJAH dan TUBUHnya…
Padahal WAJAH dan TUBUHnya akan menjadi FITNAH makanan syaithan.
Dan hanya orang-orang yang mendapat HIKMAH…
Dialah yang selalu mengHIAS HATInya dengan keTAKWAan.

Sifat Hati Yang Bersih 
  • Sensitif dengan Tuhan – tidak mensyirikkan Allah dan benci kepada sesuatu yang dibenci Allah.
  • Jika dikurniakan kesenangan, sentiasa bersyukur atas pemberianNya.
  • Merasa resah dengan dosa dan noda yang dilakukan.
  • Sentiasa merasa diri diawasi Pencipta.
  • Bila ditimpa ujian dan musibah, redha dengan takdirNya.
  • Merendah diri dan merasa hina di hadapan Allah.
  • Bersyukur dan berterima kasih atas nikmat yang dikurniakan Allah kepadanya.

Wallahu a’lam bishshowab

Monday, July 4, 2011

10 Pembasuh Dosa & Penawar Hati

Sumber: http://www.iluvislam.com/tazkirah/dakwah/1035-10-pembasuh-dosa-a-penawar-hati.html

      Hassan al-Basri r.a. berkata: "Ketika saya berkeliling di jalan-jalan kota Bashrah dan di pasarnya dengan seorang pemuda ahli ibadah, tiba-tiba saya melihat seorang tabib yang sedang duduk di atas kerusi." Dia dikelilingi oleh laki-laki, perempuan dan anak-anak. Di tangan mereka masing-masing terdapat gelas yang berisi air. Mereka meminta petua dan ubat untuk penyakitnya. Kemudian, pemuda yang bersamaku maju ke depan tabib, lalu dia berkata: "Wahai tabib, apakah kamu punya ubat yang mampu membersihkan dosa dan menyembuhkan penyakit hati? "


Kemudian, si tabib itu menjelaskan: "Ambillah sepuluh macam ramuan: 

                         Ambillah akar pohon fakir bersama akar-akar 
                         pohon tawaddhu' (kerendahan hati),
                         Campurkanlah padanya tumbuhan taubat,
                         Taruhlah ke dalam bekas keredhaan,
                         Tumbuklah dengan penumbuk qana'ah,
                         Masukkan dalam kuali taqwa,
                         Lalu tuangkanlah padanya air malu,
                         Didihkanlah dengan api mahabbah,
                         Tuangkanlah ke dalam gelas syukur,
                         Kemudian kipaslah dengan kipas harapan,
                         Lalu minum dengan sudu pujian.

Sesungguhnya jika kamu mengerjakan hal itu, maka akan menjadi ubat bagimu dari semua penyakit dan bencana di dunia dan di akhirat." 

- Dipetik daripada Kitab Nashaihul 'Ibad, Imam Nawawi.


Wednesday, May 25, 2011

4 Syarat Hidupkan Hati Dengan Al-Quran

Sumber: http://www.iluvislam.com/tazkirah/dakwah/853-4-syarat-hidupkan-hati-dengan-al-quran.html

Hati yang hidup menggerakkan potensi yang ada pada diri seseorang. Sebaliknya, hati yang mati membunuh segal a bakat dan potensi diri. Sesuatu umat hanya boleh dibangunkan dengan menggerakkan potensi dirinya serta mengarahkannya kepada pembangunan. Dengan pengutusan Rasulullah SAW, segala bakat dan potensi sahabat yang selama ini terpendam digerakkan dengan penghayatan al-Quran.


Hati yang hidup adalah hati yang subur dan bersedia untuk mendengar, melihat dan menerima kebenaran. Hati yang hidup begini mempunyai nur, tenaga dan kekuatan. Ia sentiasa tunduk dan patuh kepada Allah dengan penuh khusyuk, takwa serta kasih dan simpati kepada sesama makhluk. Hati yang dihidupkan dengan al-Quran bersedia mematuhi segala perintah syarak. Dengan mematuhi segala perintah syarak barulah kehidupan manusia akan sempurna. Bukankah Allah berfirman bermaksud:

"Sesungguhnya al-Quran ini membimbing ke jalan yang lurus (benar)." - Surah al-Isra’, ayat 9

Perkara ini disebutkan juga dalam firman-Nya bermaksud:

"Taha (maknanya hanya diketahui Allah). Kami tidak menurunkan al-Quran kepadamu supaya kamu menjadi susah, tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut kepada Allah; iaitu diturunkan daripada Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi?" - Surah Taha, ayat 1-4

Maka untuk menghidupkan hati dengan al-Quran, kita memerlukan beberapa syarat:

Pertama, al-Quran hendaklah dibaca dengan tenang dan khusyuk, dalam keadaan bersunyi diri (berkhalwah), terutama pada waktu tengah malam atau fajar (Subuh).

Allah berfirman bermaksud:

"Sesungguhnya membaca al-Quran pada waktu fajar (Subuh) itu disaksikan malaikat." - Surah al-Isra’, ayat 78

Kedua, membaca al-Quran dengan pengamatan maknanya seperti yang dijelaskan dalam firman Allah bermaksud:

"Tidakkah mereka merenungi (tadabur) al-Quran itu?" - Surah Muhammad, ayat 24

Pembacaan yang disertai dengan renungan dan pengamatan sedemikian akan membuka pintu hati seseorang untuk menerima kebenaran yang terkandung dalam al-Quran. Dengan perkataan lain, roh dari alam tinggi (alam Ketuhanan) yang dibawa oleh al-Quran itu akan turun dan meresapi ke dalam hati pembaca al-Quran kemudian ia menghidupkannya. Dengan itu hati dapat mengenal kebenaran dengan mudah dan mencintainya. Nilai kebenaran dan kebaikan akan tumbuh subur dalam jiwanya. Lantas ia menyukai kedua-keduanya, tetapi membenci dan menentang kebatilan dan kejahatan.

Ketiga, sentiasa bersikap bersedia untuk menerima kebenaran al-Quran sebelum membaca atau mendengarnya.

Manusia sering dikuasai oleh hawa nafsunya. Segala keinginan dunia (hingga membawa kepada kegilaan) adalah dinding (hijab) tebal yang menutup hati seseorang itu sehingga menyebabkan enggan menerima hidayah Allah melalui al-Quran.

Keempat, merealisasikan kehambaan ('ubudiyyah) diri sewaktu membaca al-Quran.

Perasaan ini akan dapat menimbulkan keazaman untuk merealisasikan segala ajaran al-Quran yang dibaca itu dalam kehidupan. Ini semata-mata untuk mendapatkan keredaan Allah. Dalam perkataan lain, pembacaan yang sedemikian akan menimbulkan keazaman untuk bermujahadah iaitu melawan kemahuan diri yang bertentangan dengan tuntutan ‘ubudiyyah kepada Allah. Melaksanakan segala perintah Allah yang terkandung dalam al-Quran adalah tafsiran makna ayat yang dibacanya itu di dalam kehidupan.

Untuk memastikan ia terus hidup dan segar, maka hati perlu sentiasa menjalani proses mujahadah (melawan segala kemahuan diri yang bertentangan dengan ajaran Islam). Hati yang tidak bermujahadah, ertinya hati itu beku dan kotor. Hati yang kotor dan beku menyebabkan seseorang itu tidak ingin melakukan kebaikan, malah ia sentiasa melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Perkara ini dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW bermaksud: "Huzaifah berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda: Fitnah akan melekat di hati manusia bagaikan tikar yang dianyam secara tegak-menegak antara satu sama lain. Mana-mana hati yang dihinggapi oleh fitnah, nescaya akan terlekat padanya bintik-bintik hitam.

"Begitu juga dengan hati yang tidak dihinggapinya, akan terlekat padanya bintik-bintik putih sehinggalah hati itu terbahagi kepada dua.

"Sebahagiannya menjadi putih bagaikan batu licin yang tidak lagi terkena bahaya fitnah, selama langit dan bumi masih ada, manakala sebahagian yang lain menjadi hitam keabu-abuan seperti bekas tembaga yang berkarat, tidak menyuruh kebaikan dan tidak pula melarang kemungkaran, segala-galanya adalah mengikut keinginan." (Riwayat al-Bukhari di dalam Kitab Iman, Hadis No. 207)

- Artikel iluvislam.com

Tuesday, May 24, 2011

Antara Mata Dan Hati

Sumber: http://www.youtube.com/watch?v=B7DCxWwa6M8&feature=related