Firman Allah SWT di dalam al-Quran, yang bermaksud:
" Orang-orang yang beriman menjadi tenteram dengan mengingati Allah, ingatlah bahawa dengan mengingati Allah itu tenteramlah hati."(al-Ra’du: 28)
Lalai dari sudut pandang agama merupakan lawan kepada tafakkur. Dari segi akhlak, setiap kali tafakkur dan perenungan yang tinggi, maka hal itu akan menyebabkan ketinggian dan kesempurnaan manusia. Sebaliknya kelalaian, betapapun kecilnya, ia pasti akan menjerumuskan manusia. Ini berdasarkan kepada ungkapan al-Quran bahawa kelalaian akan menjerumuskan manusia hingga ke tahap haiwan, bahkan lebih rendah dari itu. Allah SWT berfirman:
"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahannam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak digunakan untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata tetapi tidak digunakan untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga tetapi tidak digunakan untuk mendengar(ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat. Mereka itulah orang-orang yang lalai." (al-A’raf: 179)
Bagi orang-orang yang hati mereka telah dikuasai oleh kelalaian, mereka mempunyai mata namun mereka tidak melihat dengan mata itu, mereka mempunyai telinga namun mereka tidak dapat mendengar dengan telinganya, dan mereka mempunyai hati namun mereka tidak memahami dengan hatinya, mereka itulah yang disifatkan menguasai ciri-ciri sebagai binatang. Mereka juga digambarkan lebih sesat, lebih teruk dari sifat-sifat binatang.
Kelalaian tidak lain merupakan sifat yang tercela. Pada ayat yang lain Allah SWT berkata bahawa kelalaian boleh mengunci hati dan menutup pendengaran dan penglihatan. Firman Nya: "Mereka itulah orang-orang yang hati, pendengaran dan penglihatannya telah dikunci oleh Allah, dan mereka itulah orang-orang yang lalai."(al-Nahl: 108)
Orang-orang yang lalai tidak mempunyai hati. Hati mereka seakan terkunci. Mereka tidak mempunyai hati yang sedar, tidak mempunyai pendengaran yang mampu mendengar dan tidak mempunyai penglihatan yang mampu melihat. Sehingga akhirnya sifat kelalaian ini telah menjadikan mereka jatuh ke darjat haiwan dan binatang.
Sifat kelalaian adalah lawan kepada sifat sedar dan prihatin diri. Sifat kelalaian mendorong kepada kehilangan dunia dan lebih malang lagi, kehilangan akhirat.
Wallahu’lam

No comments:
Post a Comment